05 September 2010

Rabun Kewangan Mengundang Bencana.....

Seorang pekerja yang bernama Muhammad Iqmal Ariff (bukan nama sebenar) pergi ke bilik pameran kereta bagi membeli sebuah kereta idaman. Selepas berpuas hati dengan penerangan oleh jurujual dan memandu uji kereta itu, maka urusan penempahan bermula.

Iqmal membayar RM 1,000 untuk penempahan dan melantik jurujual tersebut bagi menguruskan pembiayaan bagi pembelian kereta tersebut. Beliau juga memberikan maklumat peribadi yang dikehendaki termasuk satu salinan Mykad untuk urusan yang berkaitan.
Beliau bersetuju dengan pelan ‘emas’ bagi pembiayaan kereta tersebut iaitu, pembiayaan sebanyak 95% daripada harga jualan dan tempoh pembayaran balik adalah 9 tahun. Pelan ini dapat memastikan dia hanya perlu keluar duit muka sebanyak 5% sahaja daripada harga kereta. Ia juga membantunya meringankan ansuran bulanan kepada bank. Sebelum meninggalkan bilik pameran beliau berkata kepada jurujual “Dapatkan pembiayaan maksimun dan ambil tempoh yang paling maksimum”

Sehari kemudian, Iqmal dihubungi oleh jurujual tersebut mengatakan permohonan pembiayaan maksimun telah diluluskan dan beliau dikehendaki hadir menandatangani dokumen dengan bank.Seminggu kemudian, jurujual tersebut menelefonnya ” Tuan Iqmal, kereta Tuan sudah sampai di pejabat kami, pukul berapa Tuan ingin datang mengambilnya?”Iqmal menjawab ringkas “Sekarang, saya datang”

Dua tahun kemudian, dia sudah tidak selesa memandu kereta tersebut, apabila melihat ada model baru di pasaran. Apabila beliau menghubungi jurujual untuk ‘trade in’, beliau diberitahu bahawa beliau terpaksa membayar duit tambahan kepada bank kerana baki hutang dengan bank lebih tinggi daripada harga kereta tersebut dipasaran. Iqmal melupakan hasratnya itu. Beliau terus mengunakan kereta.

Genap ulang tahun kelima, keretanya mula mengeluarkan bunyi-bunyi yang memerlukan kereta itu dihantar ke bengkel. Beberapa keping duit RM100 di hulurkan kepada juruwang bengkel tersebut. Selang beberapa bulan, Iqmal datang lagi, memberitahu penghawa dingin keretanya tiba-tiba tidak berfungsi. Pemilik bengkel memberitahunya bahawa kompressor penghawa dingin telah rosak, dan kos membaikinya adalah RM1,000 +++. Mata Iqmal tiba-tiba terbeliak, terkejut mendengar angka keramat itu. Jumlah sebenar tidak dapat ditentukan sehingga mekanik membuka satu persatu komponen penghawa dingin kereta tersebut. Mekanik itu memaklumkan jumlah ke semua kos adalah RM 1,350. Beliau hampir pengsan kerana tidak mempunyai duit sebanyak itu. Mindanya lantas terfikir tentang satu kad ajaib yang terdapat di dalam dompetnya. Akhirnya Iqmal menjelaskan bil itu dengan mengunakan kad kredit.

Dari hari itu, beliau tidak mampu untuk membayar balik kepada bank kerana telah mengunakan duit kad kredit sebanyak RM1,300.Beliau menyesal kerana telah mengambil pinjaman maksimun untuk kereta tersebut dan juga mengambil tempoh maksimun. Ketika ini, beliau tidak tahu bila ansurannya akan berakhir. Keretanya keluar masuk workshop hampir setiap bulan. Harga keretanya sudah jatuh merudum di pasaran akibat penawaran model-model yang bukan sahaja baru tetapi dilengkapi dengan teknologi terkini.

Jangan biarkan hidup kita juga ditimpa dengan bebanan seperti Iqmal yang sanggup menempuhi hidup dalam keadaan ‘rabun’. Rabun bukan sahaja bererti untuk mata yang kabur, ia juga bermaksud pemikiran yang cetek dalam hal berkaitan dengan kewangan.

No comments:

Post a Comment