26 September 2010

Keperluan Mengurus Hutang......


Kebanyakan daripada kita mempunyai hutang. Tak kiralah berapa banyak nilainya. Mungkin kecil, mungkin besar. Usah malu untuk mengakui kerana Michael Jackson yang dikatakan kaya itu pun mati dalam keadaan berhutang.
Saya nak bertanya kepada pembaca, siapa yang ada duit tunai untuk membeli rumah atau kereta? Siapa .....? Hampir tidak ada kan. Kalau anda ada duit tunai pun, anda tidak akan beli rumah dengan tunai. Nanti pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan cari anda. Betul tak?.
Walaupun kebanyakan daripada anda sudahpun mengetahui bahawa tabiat berhutang itu tidak baik, tetapi di kalangan masyarakat Melayu ianya seolah-oleh sudah menjadi perkara biasa. Sebagai contoh, kalau ada peniaga Pakistan datang ke rumah bawa karpet, anda beli dengan cara hutang. Harga asal karpet cuma RM500.00, tetapi apabila ianya dibayar 10 kali, bayaran bulanannya sudah tentulah tidak akan sama jika dibayar secara tunai.
Anda mungkin rasa seronok apabila dapat membeli barang dengan kadar bayaran yang minimum, tetapi kesannya ..... Anda sendiri yang tahu. Anda akan hanya dapat merasai bahang hutang ini apabila pendapatan semasa tidak lagi dapat menampung bayaran ansuran hutang-hutang yang ada.

Langkah yang paling utama sekali ialah mencegah diri daripada berhutang. Saya tahu memang sukar dilaksanakan tetapi anda boleh mengelak daripada berhutang. Prinsipnya mudah sahaja iaitu anda perlu "Berbelanja Mengikut Kemampuan". Kalau duit dalam poket cuma ada RM2.00 sahaja, tak usahlah cerita nak beli rumah yang harganya RM200,000.00. Tak salah untuk berangan-angan tetapi biarlah munasabah sedikit dengan keadaan kewangan anda.

Oleh kerana kebanyakan orang memang mempunyai hutang, maka langkah seterusnya ialah menyenaraikan segala hutang-hutang yang ada, susunkannya dari yang terkecil kemudian yang besar sedikit sehingga yang terbesar. Dengan cara ini, barulah anda ketahui berapa banyak yang anda berhutang termasuk hutang-hutang tidak rasmi seperti duit kutu, hutang surat khabar, hutang dengan penjual ikan dan pinjam dengan kawan serta banyak lagi. Melalui cara ini juga, barulah anda tahu betapa hidup anda terlalu bergantung kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment