19 September 2010

ASB & Unit Amanah - Apa Bezanya......

Masih ramai di antara kita yang terkeliru di antara Amanah Saham Bumiputera dan Unit Amanah Saham Swasta (Unit Trust). Ada yang mengatakan bahawa :

  1. Melabur di Unit Amanah Saham Swasta lebih menguntungkan berbanding dari Amanah Saham Bumiputera.
  2. Melabur di Unit Amanah Saham Swasta berhadapan dengan risiko kerugian yang besar dan duit hangus begitu sahaja.


Bukannya untuk membanding-bandingkan kelebihan dan kekurangan untuk kedua-dua jenis pelaburan ini. Bukannya untuk membuktikan yang mana satu lebih menguntungkan dan merugikan. Sebaliknya, sebagai seorang pelabur kita harus tahu pengetahuan dan perkara-perkara asas di dalam sesuatu pelaburan tersebut.

Seharusnya, seorang pelabur yang bijak harus ambil tahu tentang profail dana, prestasi, risiko sesuatu pelaburan tersebut dan bukannya hanya mengikut apa yang telah disampaikan oleh orang dari mulut ke mulut dan seterusnya kita pun mempercayainya tanpa pengetahuan yang sebenarnya.

Amanah Saham Bumiputera.
  1. Hanya dibuka untuk pelabur Bumiputera rockers sahaja..
  2. Risiko pelaburan tetap ada tetapi pelaburan ini dilindungi/dijamin oleh kerajaan.
  3. Harga unit sahamnya adalah tetap iaitu Seunit = RM1. Jadi harga belian dan jualan adalah tetap dan tidak berubah. Para pelabur tidak perlu risau akan masa (timing) yang sesuai untuk menjual (mengeluarkan) unit-unit yang telah dilaburkan.
  4. Berdasarkan pada prestasi pada tahun-tahun lepas. Kadar pulangan (return) adalah sekitar 6-7% untuk dividen manakala bonus pula adalah sekitar 1-2% setahun.
  5. Tada sebarang kos yang dikenakan terhadap pelabur seperti yuran pengurusan (management fee) dan yuran tahunan (annual fee).

Unit Amanah Saham Swasta (Unit Trust).

  1. Terbuka kepada umum, ini bermaksud pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera boleh menyertai pelaburan ini.
  2. Punya profail risiko yang tersendiri (profail yang berbeza-beza) bergantung kepada status dana-dana tersebut. Dana-dana tersebut terdiri daripada dana agresif, dana seimbang dan dana konservatif.
  3. Harga seunit sahamnya berubah-ubah dari semasa ke semasa. Misal kata, untuk hari ini harga jualan saham seunit adalah RM1.19 dan mungkin keesokkan harinya RM1.17 seunit. Pelabur harus bijak dan peka dengan harga pasaran semasa sebelum membuat pembelian dan penjualan unit saham. Secara teorinya, seorang pelabur harus membeli (menyimpan) apabila harga jualan seunit yang ditawarkan adalah rendah/murah. Contohnya, menyimpan/membeli apabila harga seunit saham yang dijual oleh pihak unit amanah adalah RM0.56. Manakala, menjual/mengeluarkan unit saham yang ada apabila harga saham yang dibeli adalah tinggi/naik. Contohnya, pihak unit amanah membeli unit saham kita sekitar RM1.09 untuk seunit.
  4. Berdasarkan pada prestasi pada tahun-tahun lepas. Kadar pulangan bagi Unit Amanah Saham Swasta adalah sekitar >12% ke atas.
  5. Terdapat yuran pengurusan (management fee) yang dikenakan terhadap pelabur. Sebagai contoh, untuk pelabur yang melabur di Public Mutual mereka akan dikenakan yuran pengurusan sebanyak 6.7% dan yuran tahunan (annual fee) sekitar 1.5%.

Jadi, sebagai seorang pelabur. Kita harus tahu bahawa setiap pelaburan itu pasti mempunyai risikonya. Berbanding dengan ASB, risikonya tetap ada tetapi dikawal oleh kerajaan dan disebabkan itu jugalah pulangan yang diperolehi oleh para pelabur tidaklah tinggi berbanding dengan Unit Amanah Saham Swasta(unit trust) yang mempunyai profil risiko yang tersendiri. Semakin tinggi jumlah pulangan yang bakal diperolehi maka semakin tinggi jugalah profail risiko dana tersebut.

Pelabur di Unit Amanah Saham Swasta harus bijak memilih dan seterusnya melabur di dalam dana yang mempunyai profail risiko yang bersesuaian dengan tahap keupayaan seseorang pelabur. Dan yang paling penting di sini, bahawa para pelabur harus ingat bahawa prestasi masa lepas untuk sesuatu pelaburan bukanlah satu jaminan untuk prestasi masa hadapan.

Psssttt.. : Informasi di atas disediakan untuk memahami perbezaan di antara Amanah Saham Bumiputera dan Unit Amanah Swasta. Sungguhpun begitu, pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut menyediakan unit amanah yang harga unitnya yang berubah-ubah seperti Amanah Saham Malaysia. Sila rujuk laman web PNB untuk keterangan lanjut mengenainya.....

No comments:

Post a Comment